Blog Archive


Ilmu tu luas. Macam-macam ilmu yang ada dalam dunia ni, kalau nak terokai dan pelajari semua, tidak cukup umur kita di dunia. Sebab tu orang kata ilmu tu tidak akan pernah habis.

Nak menceritakan pengalaman sendiri, pelajaran di sekolah menengah, boleh lah tahan. Aku ambil aliran perdagangan masa di bangku sekolah dulu. Subjek elektif aku ada tiga iaitu perdagangan, sains sukan & geografi. Tapi aku tambah lagi satu subjek, pendidikan seni. Jadinya, masa spm aku ambil sepuluh subjek.

Aku jenis orang yang tak pernah target apa-apa. Tak pernah target akan dapat berapa A, aku redha je bila dapat keputusan. Jadi, tak ada lah aku kecewa, menangis, meratap dan menyesal. Kalau keluarga pula, keluarga aku jenis tak kisah, janji kau dah buat sehabis baik, itu dah memadai. Mereka faham dan bukan jenis yang memaksa.

Nak dijadikan cerita, lepas habis SPM aku pun dapat lah keputusan SPM, Alhamdulillah sedang-sedang je. 5A4B1C. Subjek yang C tu perdagangan. Jadi, untuk masuk ke universiti, aku mohon lah UPU. Yang pertama sekali aku apply diploma bisnes, lepas tu diploma pengurusan pejabat dan lain-lain aku tak ingat sebab aku main pilih je. Sekadar nak memenuhkan tempat kosong.

Tiba lah hari keluar keputusan UPU tu, aku dapat asasi undang-undang di sebuah universiti ni. Waktu tu entah nak gembira atau sedih. Aku langsung tak tahu apa tu asasi sebab aku main isi dan course tu aku letak dalam pilihan yang bawah-bawah. Entah, pilihan pertama yang patutnya diterima tapi itu yang dapat.

Tak apa. Aku terima lah tawaran universiti tu walau aku tak tahu asasi tu apa. Aku tak terdedah dengan orang yang bijak-bijak dalam pelajaran sebab tu aku tak tahu. Aku pun tahu kemampuan aku dalam pelajaran tapi tak tahu pula jadi sesusah ini.

Bermulalah kisah aku di universiti.
Nak disingkatkan cerita, semester 1 aku ambil tujuh subjek dan aku gagal dua subjek. Aku sedih tapi mungkin aku tak cukup berusaha. Jadi masuk semester 2 aku ambil sepuluh subjek termasuk subjek gagal semester yang lepas. Tapi untuk semester 2, satu subjek bahasa inggeris tak ada paper, jadinya masa final exam tu aku ambil sembilan paper. Dan semester 2 pula, aku gagal dua subjek lagi, satu subjek yang gagal masa semester 1 dan satu lagi subjek dari semester 2. Jadi aku perlulah ambil supplementary exam iaitu peperiksaan khas untuk pelajar-pelajar yang gagal paper. Dah dapat result supplementary exam tu, aku gagal lagi. Tapi kali ni satu subjek dari semester 2. Sedih.

Waktu terima keputusan semester 2 tu, aku sedih sebab buntu. Usaha dah tapi masih lagi gagal. Dugaan, dugaan. Itu yang ambil peperiksaan khas. Tapi bila dapat keputusan, gagal lagi. Seumur hidup aku, tak pernah rasa sekecewa ni. Sedih sangat. Rasa tak nak hidup pun ada. Rasa macam diri ni tak berguna sebab impian aku memang nak sambung belajar dan graduate. Tak kisah dalam course apa, janji ada sijil. Itu aku.

Tapi lepas tu aku buat plan kalau aku tak capai itu dan ini, apa plan yang akan aku buat. Lepastu aku jadi kuat & ambil benda positif. Syukur juga ada keluarga dan kawan-kawan yang bagi sokongan. Mungkin aku buntu dan rasa nak berputus asa tapi aku kuatkan semangat demi mencapai impian hidup aku.

Kegagalan bertubi-tubi aku terima. Tak sangka, hidup aku jadi sesusah tu. Malu. Konon nak habiskan belajar cepat-cepat tapi dugaan demi dugaan menghentam diri aku. Tak apa, belajar tak mengikut umur. Ada yang sudah berkahwin, dan berumur baru nak sambung belajar. Tak apa, ambil positif dan kalau terpaksa mula dari bawah, mula lah. Mungkin tiada rezeki. Tabahkan lah hati dan bangkitlah.

Perjuangan aku belum selesai. Mungkin ini dugaan untuk aku. Ingatlah bahawa Tuhan itu sebaik-baik perancang, kita diuji olehNya untuk lihat betapa tabahnya kita dalam menghadapi ujianNya. Jadi, jangan pernah berputus asa. Hidup ini adalah satu perjalanan dan bukan satu destinasi. Kita mungkin kalah sekarang tapi itu bukan bermakna kita akan kalah selamanya. Selagi kita tidak berputus asa, selagi itu kita belum sampai pengakhirannya.